AGAMASELANGOR

Program dakwah bersama JAIS, jadikan PM pendakwah berjaya

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 OKT: Pendakwah Muslimah (PM) akan menggunakan program dakwah bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebaiknya supaya dapat menjadikan pendakwah berkualiti dan berjaya.

Mewakili finalis PM lain, juara PM, Raudhatul Jannah Mohd Rozli berkata, nota persefahaman ditandatangani antara mereka dan JAIS memberi peluang menambah ilmu serta pengalaman berada di lapangan ketika menyertai program berkenaan.

“Saya kira JAIS sangat membantu dalam memberikan platform terbaik kepada wanita terutama muslimah bagi membantu masyarakat menerusi program dan aktiviti dakwah dijalankan ini.

“Dalam tempoh dua tahun, kami akan menjalani latihan dan mendapat pendidikan diperlukan bagi memantapkan diri serta mampu menjadi pendakwah dengan baik,” katanya kepada media selepas Majlis Meraikan PM4 dan Menandatagani Nota Persefahaman antara JAIS dan finalis PM di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendakwah di kalangan wanita muslimah memainkan peranan penting kerana mereka adalah golongan yang rapat dengan masyarakat.

Katanya, ini dapat dilihat kerana anak-anak sememangnya rapat dengan ibu mereka iaitu seorang wanita.

Berhubung kemenanganya selaku juara PM, Raudhatul Jannah berkata, kemenangan itu bukan satu kebanggaan tetapi permulaan untuk menggerakkan langkah ummah.

“Ia hanya titik permulaan untuk kita ke hadapan dan sebagai seorang pendakwah, kita harus santuni masyarakat berbilang latar belakang pendidikan, kehidupan dan gaya hidup dalam mendepani isu semasa,” katanya.


Pengarang :