Selangorkini
SELANGOR

Program ‘meniti di bibir rakyat’ antara pengisian Jelajah Maju Bersama Daerah Gombak

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 24 OKT: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak bersedia menerima kunjungan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan barisan kempimpinan Kerajaan Negeri sempena Jelajah Maju Bersama yang berlangsung Jumaat ini.

Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata, selaku tuan rumah, pasukannya kini dalam persiapan terakhir untuk memastikan segala program dirancangkan berjalan lancar.

“Ini merupakan lokasi ketiga jelajah Dato’ Menteri Besar ke daerah di Selangor selepas Sepang dan Hulu Selangor. Kita sudah mengaturkan beberapa program yang boleh disifatkan ‘menjadi sebutan di bibir rakyat Selangor’.

“Kita mengharapkan program berjalan lancar dan keadaan cuaca juga baik sepanjang hari jelajah, Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata, kesempatan ini juga akan digunakan sebaik mungkin untuk rakyat meluahkan pandangan untuk proses penambahbaikan di masa akan datang.

Difahamkan, Amirudin akan bersama-sama penjawat awam dalam Himpunan Pagi di PDT Gombak sebelum mempengerusikan Mesyuarat Exco pada sebelah pagi.

Acara diteruskan dengan Solat Jumaat di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves dan Kenduri Rakyat serta disusuli dengan lawatan di beberapa kawasan sekitar Daerah Gombak.


Pengarang :