BERITA UTAMASELANGOR

Projek Datum Jelatek serlah inisiatif Peduli Rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Inisiatif baru yang ditonjolkan oleh anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), DatumCorp International Sdn Bhd (DatumCorp), bagi membina rumah Orang Asal menerusi keuntungan penjualan rumah Datum Jelatek disokong Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kempen #DatumHomesForAll itu jelas menunjukkan keseiringan dan kebersamaan dengan Kerajaan Negeri dalam melestarikan pembangunan yang mampan.

Katanya, melalui pakej pemilikan kediaman dan pelaburan Datum Jelatek yang dibangunkan itu, ia dapat mempertingkatkan kualiti kehidupan, merancakkan pembangunan ekonomi dan memperkasakan kedudukan fiskal negeri.

“Menerusi pembinaan ini, keuntungannya akan disalurkan kepada pembangunan komuniti Orang Asal antaranya perumahan mereka.

“Sebanyak 708 unit ditawarkan pada pembangunan projek ini dan sebanyak 108 unit sudah dijual. Projek ini juga sudah mencapai sebanyak 50 peratus kemajuan.

“Pengenalan gamification Datum Tap turut menjadi wahana serampang dua mata yang bukan sahaja membantu dalam pemerkasaan jenama Datum Jelatek, di bawah DatumCorp,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara DatumCorp International Sdn Bhd dan Epic Homes dan Pelancaran Datum Homes For All, di Datum Galleria, Taman U-Thant, di sini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan pembangunan Orang Asal di negeri itu supaya tidak ketinggalan dengan arus pembangunan dan pemodenan.

Katanya, jurang komuniti turut dirapatkan tanpa menyisihkan adat budaya, ekonomi dan pembangunan ke arah menjadikan sebuah masyarakat penyayang di Selangor.

“Datum Tap ini juga bakal muncul sebagai gamificayion pembinaan residensi pertama di Malaysia ini turut menyebarkan kesedaran mengenai komuniti Orang Asal menerusi kaedah komersial dan perumahan mereka,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin menyeru pihak kerajaan dan swasta untuk turut terbabit dalam merancakkan pelaksanaan inisiatif peduli rakyat sepertimana yang diimplementasikan oleh DatumCorp.


Pengarang :