NASIONAL

Projek IPP di Kapar antara projek dibatalkan kerajaan – Yeo

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Projek Loji Jana Kuasa berkapasiti 700 megawatt (MW) oleh Malakoff Corporation Berhad dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kapar antara empat projek penjana tenaga bebas (IPP) yang dibatalkan kerajaan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pembatalan projek itu berikutan ketidakpatuhan terhadap syarat yang dikenakan dalam surat tawaran oleh pihak pemaju.

“Projek lain ialah projek Loji Janakuasa 1,400 MW oleh Aman Majestic Sdn Bhd dan TNB di Paka, Terengganu, projek Loji Janakuasa Kitar Padu gas 300 MW oleh Sabah Development Energy (Sandakan) Sdn Bhd dan SM Hydro Energy Sdn Bhd di Palm Oil Industrial Cluster (POIC) di Sandakan dan pembatalan kuota tenaga solar sebanyak 400 MW kepada Edra Power Holdings Sdn Bhd bagi pembangunan loji janakuasa solar,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) yang ingin tahu empat IPP yang akan dibatalkan kontrak seperti yang diumumkan kementerian itu sebelum ini.

Yeo berkata pembatalan projek itu dijangka tidak akan memberikan sebarang implikasi negatif kewangan dan perundangan kepada kerajaan.

“Dengan pembatalan projek ini, kerajaan telah menjimatkan pembekalan elektrik kepada pengguna sebanyak RM1.26 bilion.

“Kerajaan juga komited dalam memastikan projek penjanaan elektrik pada masa hadapan sama ada berasaskan bahan api fosil atau tenaga boleh diperbaharui akan dianugerahkan secara tender terbuka,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :