NASIONAL

Proses pemilihan Cabang Batu lancar

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Pemilihan KEADILAN 2018 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka mencatatkan jumlah keluar memilih yang tinggi.

Di Cabang Batu, dianggarkan lebih 200 anggota parti sudah menunaikan tanggungjawab masing-masing sehingga jam 12 tengah hari tadi dan di Cabang Wangsa maju pula mencatatkan kira-kira 500 setakat jam 1.20 tengah hari tadi.

Calon anggota Majlis Pimpinan Pusat, Amirudin Shari berkata, pengurusan proses pemilihan di Cabang Batu turut didapati lancar dan terkawal, sekali gus memudahkan anggota untuk memilih.

“Saya dapat lihat proses yang berjalan lancar dan kehadiran mencecah lebih 200, justeru saya berharap proses ini lancar sampai ke petang.

“Saya menyeru kepada semua anggota KEADILAN Wilayah turun mengundi mengikut cabang masing-masing,” katanya selepas beliau meninjau proses pemilihan Cabang Batu, di Dewan Orang Ramai Kampung Batu Muda, Sentul di sini, hari ini.

Beliau berkata, peratusan anggota keluar memilih yang tinggi akan menghasilkan keputusan pemilihan lebih berkredibiliti baik di peringkat cabang mahupun pusat.

Katanya, selain memilih barisan kepimpinan bagi sesi 2018-2022, proses pemilihan ini juga satu latihan baik untuk anggota parti berhadapan dengan pilihan raya.

Terdahulu, Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar sempat meluangkan masa melawat pondok panas calon bertanding bagi cabang itu.

Antara pemimpin lain yang turut hadir, calon Ketua Cabang dan Naib Presiden, Tian Chua.


Pengarang :