SUKANKINI

Rajagobal kekal bimbing PKNS FC musim 2019

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 OKT: Datuk K Rajagobal menyambung kontrak untuk kekal sebagai Ketua Jurulatih PKNS FC bagi musim 2019.

Persetujuan itu dimetrai dalam satu majlis ringkas menandatangani kontrak baharu bersama Presiden, Puan Hajah Siti Zubaidah Abd Jabar telah diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC), hari ini dengan disaksikan oleh Setiausaha Kelab, Md Adi Harmizi Ariffin.

Rajagobal mengucapkan terima kasih kepada pengurusan PKNS FC yang menyambung kontrak beliau serta para pemain yang bekerja keras untuk memberikan kejayaan kepada pasukan.

“Saya sebagai jurulatih akan memberikan sepenuh tenaga, komitmen dan jiwa raga kepada pasukan.

“Saya juga akan memberikan yang terbaik untuk pasukan Semut Merah kekal kompetitif dalam saingan Liga Malaysia tahun depan,” katanya.

PKNS FC memperolehi pencapaian cemerlang sepanjang penglibatan di dalam Liga Malaysia pada musim ini dengan menduduki tangga ketiga unifi Liga Super, Separuh Akhir Shopee Piala Malaysia, Suku Akhir unifi Piala Malaysia dan Juara Piala Sultan Selangor.

Kredit Foto: Instagram PKNS FC


Pengarang :