GLOBAL

Rakyat Malaysia berjaya di luar negara disaran bantu bina Malaysia Baharu

HANOI, 25 OKT: Timbalan Perdana Menteri,, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru rakyat Malaysia yang mencipta kejayaan di luar negara supaya membantu menyumbang ke arah pembinaan Malaysia Baharu.

Beliau berkata seperti disebut firma pengurusan pelaburan global, Schroders, dalam laporannya bagi Jun, antara masalah yang terus melanda ekonomi Malaysia sejak beberapa dekad lepas ialah penghijrahan cerdik pandai.

Kata beliau, penghijrahan rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi menyebabkan negara itu kehilangan modal insan terbaiknya, sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan hasil cukai, di samping menambah bebanan di bahu mereka yang terus kekal di Malaysia.

Dr Wan Azizah berkata menurut laporan berita, seorang daripada setiap 10 pekerja mahir Malaysia sedang merancang untuk meninggalkan negara itu, sekali ganda jumlahnya daripada kadar purata global, bagi mencari kehidupan lebih baik dan bersaing di arena antarabangsa.

“Walaupun bercita-cita tinggi patut dipuji, negara masih memerlukan anda untuk sama-sama membantu negara kita. Memanglah kita tinggal di negara global, tetapi Malaysia adalah tanah air kita,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam bersama-sama diaspora Malaysia di Vietnam di sini malam ini.

Turut hadir bersama-sama 100 anggota diaspora Malaysia itu ialah Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya dan Duta Besar Malaysia di Vietnam Datuk Mohd Zamruni Khalid.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan baharu Malaysia berwawasan untuk mengembalikan kedudukan negara itu sebagai ‘Harimau Asia’ dalam ekonomi.

Bagaimanapun, kata beliau, cita-cita itu memerlukan usaha keras, terutama dalam mengurangkan hutang negara.

“Negara yang mampu berdikari adalah sebuah negara merdeka, negara bebas daripada dibelenggu oleh hutang dengan sesiapa.

“Kita mahu membina sebuah negara yang masyarakatnya tidak perlu bergantung pada pemberian orang lain, sebuah negara yang memupuk kewujudan sebuah masyarakat mampan,” katanya.

Dr Wan Azizah sedang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam bermula hari ini dan dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc, esok.

Jadual lawatan beliau termasuk menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN mengenai Wanita (AMMW) ketiga pada Khamis.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :