SELANGOR

Rancak aktiviti lasak di Paya Jaras

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 19 OKT: Penyertaan belia dalam aktiviti lasak di Paya Jaras akan dipertingkatkan menerusi penganjuran pelbagai acara menarik.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, usaha itu bagi memperkenalkan Paya Jaras sebagai salah satu lokasi sukan lasak dalam kalangan penggemar sukan terbabit.

“Pada masa ini, kita sudah mulakan dengan beberapa acara larian di Paya Jaras sebelum aktiviti lain yang lebih mencabar.

“Selepas ini, kita akan anjurkan pula aktiviti lebih mencabar seperti mendaki gunung dan meredah hutan dengan kenderaan pacuan empat roda,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata, aktiviti itu dijalankan dengan kerjasama pelbagai organisasi yang dinaungi belia dan beliawanis, di Paya Jaras seperti kumpulan 47000 Sungai Buloh.

Katanya, antara lokasi menarik yang boleh dijadikan tapak aktiviti lasak di Paya Jaras ialah Bukit Lagong (mendaki), Merbau Sempak (paint ball), kawasan perkampungan kusta lama (pacuan empat roda, motocross, mountain bike), Saujana Utama (berbasikal), Kampung Bahagia (menembak) dan Sungai Plong (berkhemah).

“Selain itu, kita juga merancang untuk menganjurkan Ekspedisi Paya Jaras ke Puncak Kinabalu dengan kerjasama kumpulan 47000 Sungai Buloh,” katanya.


Pengarang :