EKONOMINASIONAL

Reformasi pasaran buruh demi persaingan Revolusi Industri 4.0

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan akan melaksanakan reformasi pasaran buruh bagi memenuhi keperluan industri dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, menerusi Tonggak 4: Memperkasa Modal Insan, pelaburan berkualiti tinggi juga akan diberi keutamaan untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran.

“Kerajaan akan mereformasi pasaran buruh ke arah mewujudkan pekerjaan berkemahiran yang menawarkan gaji tinggi, dengan menggalakkan automasi dan inovasi, menerima guna teknologi baharu serta mengkomersialkan harta intelek.

“Bagi meningkatkan gaji dan upah, semakan secara berterusan ke atas dasar gaji minimum dan pembentukan Indeks Gaji Kebangsaan akan dilaksana, di samping memperluas sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul berkenaan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020: Keutamaan Dan Penekanan Baharu, di Dewan Rakyat.

Kerajaan sebelum ini menyelesaikan perbezaan kadar gaji minimum antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan penyeragaman gaji minimum RM1,050 di seluruh negara, bermula 1 Januari 2019.

Tun Dr Mahathir berkata, kerajaan turut berazam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing melalui penambahbaikan pengurusan dengan mengenakan sistem levi berperingkat yang progresif berasaskan jumlah pekerja asing yang digaji.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan mengukuhkan hak pekerja dan meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh bagi menambah baik kecekapan serta produktiviti.

“Hak pekerja akan diperkukuh melalui kajian semula undang-undang perburuhan dan pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan yang menyeluruh. Pekerja yang diinsuranskan akan menerima manfaat merangkumi elaun mencari pekerjaan, latihan, penempatan pekerjaan dan kaunseling kerjaya.

“Amat penting kita menyediakan pekerja dan golongan profesional menghadapi gangguan yang bakal dibawa Revolusi Perindustrian Keempat,

“Revolusi ini menghapuskan banyak jenis pekerjaan seperti buruh manual dalam sektor pembuatan, namun akan mencipta peluang pekerjaan baharu seperti penyelenggaraan serta kejuruteraan robotik juga automasi,” katanya.


Pengarang :