GLOBAL

Ribuan mangsa gempa dan tsunami belum ditemui di Sulawesi

PALU, Indonesia 6 OKT: Lebih 1,000 orang dipercayai masih hilang selepas gempa bumi dan tsunami dahsyat melanda Indonesia, kata pihak berkuasa semalam sekali gus meningkatkan jumlah mangsa yang belum ditemui selepas seminggu bencana berlaku.

Bandar Palu di Pulau Sulawesi musnah setelah dilanda gempa bumi kuat dan tembok air yang mengakibatkan rumah-rumah ranap dan kenderaan terbalik, manakala angka korban yang disahkan meningkat kepada 1,558 orang.

Kebimbangan juga semakin meningkat bahawa ramai mangsa masih tertimbus di bawah kompleks perumahan kerajaan di Balaroa di mana gempa tersebut mengubah struktur tanah menjadi lembik dan berair.

“Kami menganggarkan terdapat lebih 1,000 rumah tertimbus, jadi, mungkin lebih 1,000 orang masih hilang.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat mengesahkan angka tersebut kerana ada kemungkinan sebahagian mangsa mungkin berjaya menyelamatkan diri” kata jurucakap agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Yusuf Latif kepada agensi berita AFP.

Pihak berkuasa sebelum ini menganggarkan hanya sekitar 100 orang masih hilang.

Sementara itu, Bernama memetik Pengarah Informasi dan Media Kementerian Luar Indonesia, Acmad Ramadan sebagai berkata bahawa dianggarkan seramai 152,000 mangsa masih tertimbus di seluruh kawasan dilanda gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami di bandar Palu, Sulawesi Tengah, Jumaat lepas. Pada masa yang sama katanya, sejumlah 65,733 kediaman turut musnah akibat bencana itu.

Dalam perkembangan berkaitan, selepas mengalami kelewatan selama beberapa hari, bantuan antarabangsa akhirnya mula tiba di zon bencana di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberitahu bahawa hampir 200,000 orang amat memerlukan bantuan kemanusiaan.

Situasi di Palu tidak banyak berubah dengan penduduk terus menggeledah kedai dan lori bekalan bagi mendapatkan barangan keperluan asas. Aktiviti mencuri itu mendorong pasukan keselamatan menahan berpuluh-puluh orang dan memberi amaran bahawa mereka akan menembak pencuri.

Pihak berkuasa menetapkan semalam sebagai tarikh akhir untuk mencari penduduk yang terperangkap walaupun peluang menemui mangsa yang terselamat hampir tiada.

SUMBER: AFP/ Bernama


Pengarang :