SELANGOR

Ribuan pengunjung hangatkan Hari Sukan Negara Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 OKT: Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara (HSN) 2018 peringkat Selangor menyaksikan ribuan peserta berhimpun bagi melakukan pelbagai aktiviti riadah dan sukan, di Taman Botani Negara, Bukit Cahaya Seri Alam, di sini, pagi ini.

Acara yang bermula seawal jam 6.30 pagi itu disertai setiap lapisan masyarakat terdiri daripada Agensi Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam serta Swasta juga kanak-kanak.

Majlis pelancaran disempurnakan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari sambil diiringi Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Terdahulu, beliau bersama ribuan masyarakat melakukan Senam Cergas sebelum melepaskan peserta Hill Run@HSN Selangor, yang menjadi acara ikonik bagi sambutan berkenaan.

Majlis itu turut gegak gempita dengan kehadiran tiga jaguh sepak takraw negara yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, iaitu
Norhaffizi Abdul Razak, Farhan Adam dan Azlan Alias dalam sesi ‘Meet & Greet’.

Malah, pihak penganjur turut menampilkan kelainan pada sambutan kali ini yang berlangsung serentak di seluruh negara melalui aktiviti berteraskan Prinsip Mudah, Murah dan Menarik (3M).

Antara aktiviti menarik disajikan kepada orang ramai sepanjang tiga hari program terbabit berlangsung adalah ‘Aerobicthon Competition’, pertandingan lompat tali, demonstrasi (silat, silamban dan wushu), ‘Amazing Race’ dan mewarna untuk kanak-kanak.

Acara sampingan lain termasuk ‘Tree Climbing’, ‘Rain Forest’, ‘Shoe & Tell’, XPDC Puncak Sapu Tangan, ‘Fly Fishing’, pameran dan jualan serta ‘Sport Massage’.

Selain itu, kemudahan di bawah Jabatan Belia dan Sukan juga dibuka secara percuma kepada orang awam.

Hari Sukan Negara disambut pada Sabtu kedua setiap Oktober bermula 2015 bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia sentiasa bersukan dan menjadikan budaya hidup.

Pelaksanaan HSN peringkat Selangor adalah selaras dengan sambutan yang dijalankan serentak di seluruh negara, hari ini.


Pengarang :