EKONOMI

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US hari ini ditengah-tengah peningkatan kebimbangan geopolitik terhadap Laut China Selatan.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1820/1850 berbanding dolar US daripada 4.1800/1840 pada penutup Selasa.

Menurut seorang peniaga, ketegangan di Laut China Selatan meningkat sejak minggu lepas berikutan kenyataan Presiden China, Xi Jinping, untuk menumpukan persediaan menghadapi peperangan kepada komander tenteranya di wilayah Guangdong.

“Kebimbangan meningkat dan kenyataan baru-baru ini oleh Amerika Syarikat berhubung perang perdagangan antara kedua-dua negara memburukkan lagi keadaan,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, harga minyak mentah yang lemah menyebabkan ringgit menyusut memandangkan harga minyak mentah Brentr direkodkan pada US$76.31 setong berbanding US$76.77 setong semalam.

“Selain harga minyak yang rendah, pelabur juga menunggu pembentangan Bajet 2019 pada Jumaat. Sehingga itu, permintaan terhadap ringgit akan terus lemah,” katanya

Ringgit bagaimanapun didagangkan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0180/0212 daripada 3.0194/0236 pada Selasa, berbanding euro, ia meningkat kepada 4.7424/7475 daripada 4.7497/7560 sebelumnya.

Ia meningkat berbanding pound British kepada 5.3128/3187 daripada 5.3349/3417 pada Selasa dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6930/3960 daripada 3.7050/7095 semalam.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :