EKONOMIRinggit

Ringgit rendah berbanding Dolar AS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 OKT: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ekoran permintaan berterusan kepada unit negara maju itu, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi ini, ringgit susut kepada 4.1580/1620 berbanding dolar AS daripada 4.1560/1600, pada Jumaat lalu.

Ketua Perdagangan OANDA bagi Asia-Pasifik, Stephen Innes berkata, minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (Fed) AS, pada minggu lalu mengesahkan ekonomi negara itu kukuh dan cenderung meneruskan rancangan mereka berhubung dasar itu secara berperingkat.

“Kadar faedah misalnya berkemungkinan akan terus meningkat ekoran latar belakang ekonomi AS yang kukuh dan hanya mengekalkan sokongan terhadap dolar AS berkenaan,” katanya.

Di peringkat tempatan, beliau menyifatkan langkah kerajaan mengurangkan sasaran pertumbuhan ekonomi dan mengetepikan rancangan untuk mengimbangi bajet menjelang 2020, juga dilihat tidak banyak membantu pasaran kewangan negara ini.

“Tambahan pula dengan prospek seperti cukai keuntungan modal serta cukai penggunaan lainnya pada masa akan datang, juga membuktikan mengapa pasaran ekuiti Malaysia mengalami tekanan,” kata Innes.

Pada masa sama, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama kecuali yen Jepun.

Ringgit naik berbanding yen kepada 3.6973/7019 daripada 3.6982/7027 pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun ia rendah berbanding pound Britain kepada 5.4283/4356 daripada 5.4132/4205 dan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0163/0197 berbanding 3.0129/0169, sebelum ini.

Manakala, berbanding euro, ringgit susut kepada 4.7825/7888 daripada 4.7619/7674.


Pengarang :