SELANGOR

RM342,000 diperuntuk bangun sistem solar di kampung Orang Asal

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 27 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM342,000 bagi melaksanakan projek perintis pemasangan sistem solar di Kampung Orang Asal Sungai Relang, di sini.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, projek itu bertujuan membekalkan elektrik kepada perkampungan itu.

“Saya difahamkan, kampung ini sudah mempunyai satu sistem solar namun mereka terpaksa berkongsi dengan 12 rumah dan hanya mampu bertahan tiga jam sahaja.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri komited melaksanakan sistem solar di setiap rumah dan mampu bertahan selama lapan jam, tanpa perlu berkongsi lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Tapak ke Kampung Orang Asal Sungai Relang, Hulu Gombak, di sini, semalam.

Mengulas sama ada Kerajaan Negeri akan membekalkan tenaga elektrik di perkampungan itu, Loy Sian berkata, perkara itu belum dibincangkan.

“Kos membekalkan tenaga elektrik agak tinggi sehingga RM50 juta, dan di sini cuma ada 12 rumah, saya fikir sistem solar sudah cukup membantu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA), Edisham Mohd Shukor berkata, pihaknya selaku agensi pelaksana memuji inisiatif Kerajaan Negeri melaksanakan projek perintis itu.

“Pemasangan sistem solar amat efektif, mudah dipasang dan mampu menjana elektrik dengan pantas.

“Apabila projek ini sudah siap, pihak kami akan mengadakan latihan asas kepada penduduk kampung berkenaan sistem solar dan dibantu oleh pihak Jabatan Kebajikan Orang Asli Gombak,” katanya.

Projek perintis pemasangan sistem solar dengan kapasiti 1.2kWp di setiap rumah sudah bermula sejak Oktober lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung Disember tahun ini.


Pengarang :