SELANGOR

RM4 bilion dibelanjakan tapi kualiti air sungai hanya naik satu tahap

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 24 OKT: Walaupun kira-kira RM4 bilion dibelanjakan untuk meningkatkan kualiti air sungai namun bacaan Indeks Kualiti Air (IKA) di beberapa Sungai seperti Sungai Tua, Sungai Gombak dan Sungai Batu hanya dapat ditingkatkan daripada kelas tiga kepada kelas dua.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, keadaan itu amat mengecewakan kerana sikap tidak bertanggungjawab masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar menyulitkan usaha memulihara sumber bekalan air itu.

“Kebetulan dua minggu lepas bersama Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melawat sungai-sungai terlibat dengan program ‘River of Life’ (ROL) sekitar Sungai Tua, Sungai Gombak dan Sungai Batu.

“Perbelanjaan sekitar RM4 bilion selama empat tahun lalu peningkatannya sangatlah sikit di mana air sungai meningkat daripada kelas tiga kepada kelas dua, itu pun bukan di semua bahagian menyebabkan kos yang tinggi kita terpaksa belanjakan tetapi hasilnya amat sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya pada program Pelancaran Pelan Induk dan Forum Kelestarian Sumber Air Negeri Selangor di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya di sini, semalam.

Izham berkata, sikap tidak bertanggungjawab dan mentaliti di takuk lama masyarakat hari ini akan menyebabkan generasi akan datang berhadapan dengan isu ketidakcukupan bekalan air.

Katanya, air yang boleh digunakan manusia sangatlah terhad memandangkan 97 peratus daripada air yang ada di bumi merupakan air laut yang tidak boleh digunakan untuk kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

“Hanya kira-kira 0.6 peratus air di bumi ini untuk keperluan hidup manusia dan pada masa sama, ia dikongsi bersama haiwan dan tumbuh-tumbuhan,” katanya.

Katanya lagi, pengurangan sumber bekalan air yang disebabkan pencemaran sungai ini bertentangan dengan pertambahan populasi manusia yang mendorong peningkatan penggunaan air setiap masa.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melahirkan rasa kecewa dengan sikap pengguna yang masih ramai menggunakan air bersih secara tidak cekap, berhemah dan berjimat di mana salah satu penyumbang kepada masalah ketidakcukupan air.


Pengarang :