NASIONAL

RMK-11: Pesanan Tun M untuk belia akhiri ucapan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakhiri ucapan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 di Dewan Rakyat, semalam dengan meninggalkan pesanan kepada generasi muda.

Katanya, golongan itu perlu belajar menjadikan Malaysia sebagai negara maju kerana mereka bakal mewarisi perjuangan bangsa dan negara, pada masa akan datang.

“Harapan saya adalah pada anak muda, sbahagian besar generasi saya sudah pergi dan kepada siapa akan kami tinggalkan nasib bangsa serta negara ini, kalau tidak kepada generasi muda.

“Saya seru kepada generasi muda, belajarlah segala ilmu yang boleh menjadikan Malaysia negara maju, dapatkan segala kemahiran, perkukuhkan jati diri, pegang teguh pada agama dan nilai murni,” katanya.

Beliau berkata, generasi muda perlu menolak rasuah sekeras-kerasnya dengan menghayati kebenaran, kejujuran dan keadilan.

Katanya, imej Malaysia akan bertukar daripada sebuah negara kleptokrat kepada demokrasi tulen dengan kerajaan bersih, luhur dan berintegriti.

“Rakyat Malaysia di seluruh pelusuk dunia boleh memperkenalkan dirinya dengan bangga: Saya rakyat Malaysia.

“Inilah tekad kita, inilah janji kita, saya berdoa kepada tuhan supaya kita dapat melaksanakannya bersama seluruh bangsa Malaysia,” katanya.


Pengarang :