Selangorkini
NASIONAL

RMK-11: Rapat jurang bandar dan luar bandar

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dirapatkan bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antara langkah diambil adalah meluaskan rangkaian jalan raya dengan membina dan menaik taraf 1,500 kilometer jalan luar bandar.

“Kerajaan juga memperluas akses kepada bekalan air bersih dan terawat meliputi sasaran 60,000 tambahan rumah, meluaskan akses bekalan elektrik kepada sasaran 41,160 tambahan rumah.

“Sementara itu, infrastruktur digital akan dipertingkat untuk memperluas liputan dan menambah baik kualiti jalur lebar melalui pembinaan 300 menara telekomunikasi baharu dan menaik taraf 1,000 menara sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Katanya, aktiviti ekonomi setempat di luar bandar akan ditingkatkan untuk menjana pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan.

Beliau berkata, aktiviti ekonomi luar bandar yang mampan seperti industri asas tani, ekopelancongan dan agropelancongan juga akan digalakkan.

“Bantuan akan diberi termasuk menyediakan premis perniagaan untuk usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di luar bandar,” katanya.


Pengarang :