NASIONAL

RMK-11: Tempoh jawatan PM dihadkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan Persekutuan akan mengambil langkah segera untuk mereformasikan sistem politik dan pentadbiran negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antara langkah terbabit ialah menghadkan tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal.

“Perdana Menteri juga tidak akan memegang portfolio lain,” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan undang-undang berkaitan pembiayaan politik dan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Katanya, kerajaan turut menambahbaik sistem pilihan raya dengan membersihkan daftar pemilih, menambah baik proses pengundian pos dan menyediakan akses adil kepada media.

“Selain itu, langkah tegas dan berkesan akan dilaksana untuk mempertingkat mekanisme semak dan imbang pada semua peringkat.

“Manakala, sistem pentadbiran undang-undang juga akan dimantapkan dengan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya supaya diurus dua individu berlainan,” katanya.


Pengarang :