SELANGOR

RMS murka, bantah EGM FAS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 OKT: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah tidak bersetuju Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melakukan Kongres Luar Biasa (EGM) untuk melantik keseluruhan Exco yang baharu termasuk jawatan Presiden.

Selaku Presiden FAS, baginda bertitah, semenjak lebih tiga bulan lalu, pasukan pentadbirannya bertungkus lumus berusaha di belakang tabir merancang dan melaksanakan pelbagai initiatif bagi mengembalikan FAS ke landasan betul.

“Pada 1 Oktober 2018, Beta terkejut apabila dimaklumkan terdapatnya memorandum yang telah dihantar oleh ahli gabungan FAS supaya EGM diadakan. Beta tidak bersetuju untuk EGM ini dipanggil.

“Beta tidak memahami mengapa rombakan perlu dilakukan apabila kerja baharu sahaja mula dilakukan, lebih-lebih lagi apabila sebab yang diberikan amat lemah.

“Akan tetapi Beta tidak menyalahkan Ahli Gabungan kerana Beta percaya mereka telah dimanipulasi, ditipu malah diugut beberapa individu untuk menandatangani memorandum tersebut.

“Individu-individu ini adalah serigala berbulu domba, penuh dengan kepentingan diri sendiri dan bukannya hendak bekerjasama demi kemajuan FAS,” titahnya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi kenyataan itu, baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita dengan keadaan itu dan menyifatkan masa ini sepatutnya digunakan untuk meneliti dan merancang persiapan musim tahun hadapan termasuk mencari penaja bagi menambah dana persatuan.

“Disebaliknya langkah tidak bertanggungjawab ini menyebabkan masa orang-orang yang jujur dan bekerja keras demi FAS dibuang begitu sahaja.

“Tambahan pula, Beta murka apabila terdapatnya ahli Exco yang menyokong pergerakan EGM ini secara terbuka walaupun ianya bukan pendirian majoriti besar ahli Exco termasuk Beta,” titahnya.

Dalam kenyataan sama, baginda turut mengemukakan enam penjelasan bagi menjawab sebab diberikan dalam memorandum untuk memanggil EGM.


Pengarang :