BERITA UTAMANASIONAL

Rosmah ditahan SPRM, didakwa esok

PUTRAJAYA, 3 OKT: Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor ditahan ketika memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 3.30 petang.

Sumber SPRM yang dihubungi mengesahkan Rosmah ditahan ketika diambil keterangan selepas beliau tiba di SPRM pada 10.45 pagi ini.

“SPRM akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara,” kata sumber itu.

Ini merupakan kali ketiga Rosmah memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM.

Laporan media Selasa menyebut Rosmah perlu hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini bagi membantu siasatan SPRM.

 

Media hari ini membuat spekulai bahawa Rosmah akan didakwa Khamis.

Beliau kali pertama hadir ke SPRM pada 5 Jun bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012 Pada 26 September lalu, Rosmah memberi keterangan kepada SPRM hampir 13 jam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Pada 20 Sept lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata agensi itu tidak menolak kemungkinan Rosmah akan didakwa dalam masa terdekat.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :