NASIONAL

Rosmah mengaku tidak bersalah 17 pertuduhan wang haram

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Isteri mantan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan terbabit dalam 17 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM7 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Hakim Azura Alwi menetapkan sebutan kes di mahkamah berkenaan pada 8 November depan.

Berpandukan keterangan pendakwaraya dan peguambela, Azura juga menetapkan ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin ke atas Rosmah, 67.

Beliau juga diarahkan menyerahkan pasportnya dan dilarang menghubungi saksi pendakwaraya.

“Ikat jamin dipohon pendakwaraya dianggap terlalu tinggi manakala permohonan peguambela pula terlalu rendah.

“Berpandukan keterangan kedua pihak, mahkamah menetapkan ikat jamin ke atas tertuduh sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin,” kata Azura.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwaraya, Datuk Seri Gopal Sri Ram memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10 juta namun dibantah pihak peguambela Rosmah.

Barisan peguambela, Datuk Geethan Ram Vincent, Datuk K Kumaraendran dan Iskandar Shah Ibrahim kemudiannya memohon ikat jamin RM250,000 sahaja.

Mahkamah mengarahkan bayaran ikat jamin RM500,000 pada hari ini manakala bakinya sebelum atau pada 11 Oktober ini.

Rosmah menghadapi pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau hadir di kompleks mahkamah dengan diiringi polis pada kira-jam 8.30 pagi dan terus di bawa memasuki mahkamah berkenaan.

Rosmah ditahan semalam ketika memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 3.30 petang.

Penahanan itu dilakukan ketika keterangannya diambil selepas beliau tiba di SPRM pada jam 10.45 pagi.

Ia adalah kali ketiga Rosmah hadir di Ibu Pejabat SPRM di mana kali pertama pada 3 Jun dan kedua (26 September lalu).


Pengarang :