SELANGOR

Rumah Selangorku Taman Putra Prima masih berbaki 28 unit

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 OKT: Dakwaan sekumpulan pemohon kononnya unit Rumah Selangorku di Taman Putra Prima telah penuh adalah tidak tepat, kata EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Katanya, merujuk kepada data dikemaskini pemaju projek itu mendapati masih terdapat 28 unit kosong dan ia disahkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), pada 4 Oktober lalu.

Justeru, Haniza menyeru pemohon untuk merujuk terus kepada LPHS berhubung status permohonan atau sebarang masalah lain dan bukan merujuk kepada agensi yang tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan Rumah Selangorku.

“Pemohon disaran merujuk dan semak kepada LPHS kerana ia sentiasa dalam pengetahuan mereka.

“Jangan merujuk kepada pihak yang mengenakan bayaran kerana saya dapati terdapat pihak yang kononnya terlibat dengan (penyelesaian) projek rumah terbengkalai,” katanya.

Semalam, 15 pembeli Rumah Selangorku menerusi satu sidang media menuntut campur tangan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam merungkai isu unit Rumah Selangorku berharga RM42,000 yang kononnya tidak mencukupi di Taman Putra Prima.

Haniza berkata, jika dakwaan dimaksudkan wujud, Jawatankuasa Rumah Selangorku yang bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali sebulan akan mengambil tindakan tegas bagi menyelesaikan perkara itu.

Tegasnya, setakat ini tiada projek Rumah Selangorku yang terbengkalai dan LPHS sendiri melakukan pemantauan setiap perkembangan projek selain bersikap tegas bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.


Pengarang :