GLOBAL

Rusia sedia tarik diri dari Majlis Eropah secara sukarela

MOSCOW, 17 OKT: Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov berkata, Rusia akan menarik diri dari Majlis Eropah (CoE) secara sukarela, seandainya pihak lawan mendesak negara itu berundur, demikian menurut laman web kementerian luar.

“Jika mereka mahu mengusir Rusia, ia tidak semudah itu kerana kami akan keluar secara sukarela,” kata diplomat dalam temu bual dengan saluran televisyen EuroNews pada Selasa.

Menurut agensi berita Xinhua, Rusia menyertai CoE kerana yakin majlis itu akan memastikan ruang perundangan dan kemanusiaan sejagat di Eropah.

Bagaimanapun ujar beliau, ruang itu dilemahkan melalui tindakan tidak sah yang melanggar Piagam.

“Saya tidak fikir penyertaan dalam Majlis Eropah beri kepentingan kepada Rusia, selain kelebihan kepada negara Eropah,” kata menteri luar itu.

Pada 10 Oktober, Setiausaha Agung CoE, Thorbjorn Jagland, berkata majlis itu boleh membatalkan keanggotaan Rusia jika Moscow enggan meneruskan pembayaran untuk belanjawan.

Dewan Parlimen Majlis Eropah (PACE) pada April 2014 pula meluluskan resolusi menghalang hak delegasi Rusia untuk mengundi disebabkan isu Crimea.

Akhirnya pada penghunjung 2015, Rusia memutuskan keluar dari PACE dan menegaskan hanya akan menyertai semula jika hak mengundi dikembalikan.

Moscow menggantung pembayaran pada 2017, namun memenuhi semua kewajiban lain di bawah konvensyen CoE.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :