NASIONALSENI

RUsSEL persembah Pesta Tinta kepada pencinta seni

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 13 OKT: Rumah Seni Selangor (RUsSEL) mempersembahkan Pesta Tinta kepada pencinta seni puisi dengan menampilkan penyair terulung Malaysia dan Indonesia.

Program yang berlangsung selama dua hari sehingga 13 Oktober itu bertujuan membicarakan hal-hal puisi baik di dunia puisi Indonesia mahupun Malaysia dalam menghadapi perubahan politik negara.

Kurator II RUsSEL, Alina Abdullah berkata, pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang dua hari Pesta Tinta itu berlangsung antaranya Diskusi Seni “Puisi Dalam Politik Baru” yang diadakan pada malam ini (semalam).

“Malam ini (semalam) kita menampilkan Penyair Tamu khas dari negara Seberang, Joko Pinurbo selaku ahli panel bergandingan bersama Zaen Kasturi yang juga merupakan pengarang generasi baharu Malaysia.

“Antara hal dibincangkan pada Diskusi Seni ini adalah berkenaan dengan perbezaaan antara seni sastera di Malaysia dan Indonesia apabila pola politik yang sudah berubah pada masa kini,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, sambutan diterima amat menggalakkan dengan kehadiran ramai pengarang senior baik di Malaysia mahupun di negara seberang ditambah juga kehadiran golongan belia.

“Sambutan amat menggalakkan dan kita amat mengalu-alukan lebih ramai lagi kehadiran orang ramai pada Pesta Tinta yang berlangsung sehingga 13 Oktober ini dengan pelbagai aktiviti menarik akan diadakan.

“Malah, penglibatan golongan belia dilihat cukup menggalakkan dan hal ini seharusnya dipuji kerana mereka masih berminat mendalami serta mempelajari ilmu puisi ini,” katanya.

Antara pengisian Pesta Tinta selama dua hari itu turut diadakan Bengkel Puisi dan Musikalisasi Puisi “Selamat Menunaikan Ibadah Puisi” yang turut disertai Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

RUsSEL merupakan rumah seni dibawah inisiatif Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang sudah dibuka kepada umum sejak 4 April lalu.

Ia ditubuhkan bertujuan membuka ruang kepada komuniti membuat aktiviti seni dan sastera seperti melukis, menghasilkan karya, pameran dan kraftangan.


Pengarang :