NASIONAL

Sabah dan Sarawak tentu nasib Azmin-Rafizi

SHAH ALAM, 29 OKT: Undi anggota KEADILAN di Sabah dan Sarawak bakal menentukan nasib calon Timbalan Presiden bagi merebut jawatan itu, pada pemilihan kali ini.

Berbaki dua negeri lagi, pemilihan yang berlangsung sejak September lalu menyaksikan persaingan sengit antara Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Berdasarkan laman sesawang pemilihan KEADILAN, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi mendahului dengan memperoleh 46,759 undi, berbanding Rafizi sebanyak 45,112 undi, setakat ini.

Bagaimanapun, keputusan itu tidak termasuk undi di Melaka dan Negeri Sembilan yang masih belum dipapar ekoran terdapat sejumlah undi tidak dapat dikesan.

Berdasarkan keputusan dipaparkan di laman sesawang terbabit, Rafizi mendahului selepas memperoleh 3,053 undi, berbanding Mohamed Azmin yang meraih 2,961 undi, di Negeri Sembilan.

Keputusan di Melaka juga menyaksikan Rafizi menang tipis selepas memperoleh 1,541 undi, berbanding Mohamed Azmin dengan 1,521 undi.

Namun, keputusan berkenaan menyaksikan Rafizi masih ketinggalan 1,265 undi di belakang bekas Menteri Besar Selangor itu.

Sabah yang mempunyai 145,639 anggota layak mengundi akan melaksanakan proses pengundian, pada 3 dan 4 November ini membabitkan 25 cabang manakala Sarawak dengan 56,362 anggota layak pula akan melaksanakan proses itu, pada 10 November membabitkan 29 cabang.

 


Pengarang :