Saleem meninggal dunia jam 6.30 pagi tadi | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Saleem meninggal dunia jam 6.30 pagi tadi

KUALA LUMPUR 14 OKT: Penyanyi Saleem atau AM Saleem Abdul Majeed, 57, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, di sini pada jam 6.30 pagi tadi.

BH ONLINE melaporkan ia selepas 22 hari penyanyi kumpulan Iklim itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, PPUKM kerana kemalangan jalan raya di Bandar Mahkota Cheras.

Anak bongsunya, Muhammad Amirul Mukmin, berkata arwah bapanya berada dalam keadaan kritikal sejak semalam.


“Akibat hentakan kuat ketika kemalangan, otaknya bengkak, sekali gus menyukarkan penafasannya.

“Selepas koma hampir dua minggu, arwah mula sedar, tetapi keadaannya semakin lemah.

“Walaupun kelihatan ceria, kami nampak banyak perubahan pada arwah terutama apabila bibirnya berubah pucat.

“Doktor mengambil keputusan menidurkannya kerana arwah mengadu mengalami sakit kepala yang amat sangat apabila sedar,” katanya.

Amirul berkata, doktor menghubungi keluarganya jam 5.30 pagi tadi selepas keadaan bapanya semakin kritikal.

“Arwah terpaksa diberikan bantuan kecemasan, tetapi menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.30 pagi.

“Kami reda dengan pemergian arwah kerana sudah bersedia dengan segala kemungkinan selepas melihat keadaannya yang semakin kritikal,” katanya.

Jenazah penyanyi lagu Suci Dalam Debu itu akan dibawa ke surau As-Syakirin di Bukit Mahkota, Cheras untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara.

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next