SELANGORSUKANKINI

Sambut baik hasrat ‘Sporting Nation’ – EXCO

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 OKT: Kerajaan Negeri menyambut baik agenda nasional untuk melahirkan lebih ramai rakyat yang sihat, cergas dan produktif melalui aktiviti bersukan.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, semua pihak mempunyai peranan dalam menjayakan matlamat menjadikan Malaysia sebagai ‘Sporting Nation’.

Justeru katanya, satu langkah proaktif wajar dilaksanakan dalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat terbabit.

“Kita sentiasa memberi fokus kepada masyarakat di negeri ini untuk mewujudkan kesedaran kepada mereka supaya dapat melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kesukanan.

“Selain perlu meningkatkan kesedaran, mereka juga seharusnya mengamalkan aktiviti sukan itu sehingga ia menjadi satu budaya dan amalan dalam kehidupan seharian.

“Ia secara tidak langsung berupaya meningkatkan pengetahuan asas dalam bidang sukan terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Sambutan Hari Sukan Negara 2018 Peringkat Selangor, di Taman Botani Negara Bukit Cahaya Seri Alam, di sini, hari ini.

Terdahulu, lebih 3,000 peserta terdiri daripada pelbagai kelompok masyarakat membanjiri Taman Botani Negara seawal jam 6.30 pagi bagi memeriahkan sambutan anjuran Kementerian Belia dan Sukan menerusi Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Selangor itu.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, program terbabit dapat mentransformasikan Selangor sebagai sebuah negeri yang membudayakan amalan sukan, selain menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat perpaduan rakyat dan penyatuan nasional.

Katanya, acara itu berjaya menghimpunkan golongan golongan belia, keluarga, wanita dan warga emas, sekali gus membuktikan kesedaran rakyat negeri ini terhadap budaya hidup sihat semakin meningkat.

“Sasaran penyertaan bagi pelaksanaan program ini adalah seramai 76,000 daripada keseluruhan populasi penduduk di negeri ini, meliputi kawasan sasaran seperti kampung, kawasan perumahan, institusi pendidikan, tempat kerja, pusat kecergasan serta pusat kesihatan.

“Malah, pada tahun ini kita menampilkan banyak aktiviti sukan, rekreasi dan kecergasan sama ada berbentuk pertandingan, pertunjukan, riadah, sesi mencuba mahupun pengetahuan am sukan,” katanya.

Beliau berharap, program seupama itu dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa setiap pergerakan fizikal dilakukan adalah senaman yang bakal mengubah kehidupan masa hadapan.


Pengarang :