BERITA UTAMAEKONOMISELANGOR

Sasaran satu rumah seorang usahawan- MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 24 OKT: Kerajaan Selangor menyasarkan membangunkan seorang usahawan bagi setiap rumah di negeri ini yang menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan atau perniagaan besar.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, matlamat itu mampu dicapai melalui usaha Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang kini menjadi agensi paling ke depan bagi program pembangunan keusahawanan sekali gus mendahului negeri lain.

Katanya, ia turut dilihat melalui program pembangunan usahawan baharu yang turut melibatkan golongan pelajar.

“Ia selari dengan hasrat Kerajaan Negeri yang terus melebarkan serta mengukuhkan usahawan di negeri ini termasuk dengan peruntukan sebanyak RM100 juta sebagai pembiayaan mikro kepada usahawan dan peniaga yang memerlukan suntikan modal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Perasmian Konvensyen Program Tunas Niaga (PROTune) di Shah Alam Convention Centre (SACC), hari ini.

Amirudin berkata, PROTune terbukti memberikan impak positif besar kepada pembentukan generasi usahawan muda.

“Diharap peserta dapat memanfaatkan segala ilmu, latihan dan pengalaman diraih melalui PROTUNe, sekali gus mencetuskan potensi diri bagi meneroka sektor perniagaan.

“Tahniah kepada PKNS dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPS) kerana terus menganjurkan program ini sebagai sokongan kepada aspirasi kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dan berdaya saing.

“Diharap PROTUNe dapat dikekalkan legasinya untuk berdekad yang akan datang,” katanya.


Pengarang :