SELANGOR

Selangor bakal wujud pusat intervensi awal anak istimewa

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Kerajaan Negeri sedang dalam usaha mewujudkan Pusat Intervensi Awal Kanak-kanak Istimewa bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan meliputi aspek kemahiran urus diri, bermain dan pendidikan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebagai permulaan, ia akan dilaksanakan di dua taska setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih.

Katanya, taska berkenaan mesti memiliki keupayaan infrastruktur dan prasarana mencukupi.

“Ini adalah projek perintis kita. Dua orang guru juga akan dilatih kakitangan Pusat Permata Kurnia negara supaya mereka diberi pendedahan dan kemahiran terlebih dahulu.

“Buat masa ini, kita akan terima semua jenis penyakit seperti autisme, disleksia, down syndrom dan sebagainya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Permata Kurnia bagi mengetahui proses pembelajaran dan pengurusan pusat berkenaan.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Taska Selangor, Mahanom Basri dan Pengarah Pusat Permata Kurnia, Prof Dr Hasnah Toran.

Mengulas lanjut, katanya, pusat itu membolehkan ibu bapa yang memiliki anak istimewa tidak perlu menghantar anak mereka ke pusat swasta atau jauh dari rumah.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap anak istimewa itu dan mahu mereka mampu berdikari mendepani cabaran hidup tanpa bergantung kepada ibu bapa atau orang sekeliling.

“Di negara maju, anak ini mampu berdikari dan diajar berkenaan urus diri selain diberi pendidikan awal bagaimana bergaul dengan orang sekeliling.

“Jadi, kita mahu mereka ini tidak menjadi bebanan ibu bapa lebih lagi ibu bapa atau keluarga yang malu menerima kanak-kanak istimewa ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan berbincang dengan badan bukan kerajaan, persatuan dan pemegang taruh untuk mendapatkan pandangan serta bantuan.

Beliau berkata, Pusat Permata Kurnia itu juga akan dijadikan contoh kepada Kerajaan Negeri dari segi pengurusan dan pembelajaran bagi pusat intervensi yang bakal diwujudkan kelak.

“Saya difahamkan, pusat permata ini menerima pelajar kanak-kanak istimewa majoriti dari Selangor,” katanya.

 


Pengarang :