SELANGOR

Selangor harap lebih banyak UTC dibina

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan Selangor berharap supaya lebih banyak Pusat Transformasi Bandar (UTC) dibina di negeri ini.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, ia sekali gus membantu orang awam menggunakan perkhidmatan kerajaan dan swasta di bawah satu bumbung.

Katanya, UTC diperlukan bagi kawasan yang mempunyai penduduk padat serta golongan berpendapatan rendah hingga sederhana.

“Kini Selangor hanya mempunyai sebuah sahaja UTC iaitu di Anggerik Mall yang baru saja dilancarkan.

“Kewujudan UTC ini membolehkan orang awam berkunjung ke satu tempat sahaja untuk menyelesaikan pelbagai urusan kehidupan seharian seperti membayar bil, memperbaharui lesen dan juga pasport,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Bersama Agensi Kerajaan di Taman Sri Ampang.

Haniza yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya berkata, program itu adalah kali pertama diadakan di kawasan berkenaan.

Antara yang terlibat termasuk Jabatan Penerangan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Pengarang :