SUKANKINI

Selangor OKU Bowling Open tampil bakat baharu

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 OKT: Program Selangor Orang Kurang Upaya (OKU) Bowling Open 2018 berjaya menampilkan ramai bakat baharu dengan penyertaan menggalakkan dari seluruh negara.

Timbalan Pengarah Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Selangor, Musyrifah Elias berkata, program yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, baru-baru ini membuka ruang buat pemain OKU menampilkan bakat dalam sukan berkaitan.

“Program ini dilaksanakan bagi mencungkil bakat baharu OKU dalam sukan boling dari seluruh negara dan hasilnya kita berjaya menampilkannya.

“Jabatan Belia dan Sukan Selangor menyokong penganjurannya membabitkan penyertaan semua pihak kerana dapat membangunkan sukan secara keseluruhan,” katanya.

Selain Selangor, program itu juga disertai pemain OKU dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kuala Lumpur.

Turut hadir, Presiden Persatuan Boling Para Selangor, Hashim Mahmud dan Presiden JAB Bowling Academy, Mohd Razif Abu Bakar.

Program Selangor OKU Bowling Open 2018 ditaja Kumpulan Perangsang Selangor dijayakan dengan kerjasama Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor, Persatuan Tenpin Boling Para Selangor dan JAB Bowling Academy.


Pengarang :