PBTSELANGOR

Semarak Seni Budaya cungkil bakat baharu

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 18 OKT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor menganjurkan program Semarak Seni Budaya, di Pusat Membeli Belah The Summit, di sini.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 13 Oktober lalu itu dirasmikan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, program itu bertujuan menggalakkan orang awam membabitkan diri dengan aktiviti kebudayaan bangsa Malaysia selain mencungkil bakat baharu dalam bidang itu.

Katanya, ia juga dianjurkan demi menyahut seruan kerajaan melaksanakan program seni budaya dari peringkat akar umbi ke arah melahir dan membentuk budaya perpaduan kukuh.

“Pada tahun ini, MPSJ menyasarkan penyertaan 800 peserta terdiri daripada penggiat seni, golongan belia dan remaja, pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta penduduk di pentadbiran majlis untuk menyertai program itu.

“Kita optimis dengan pelaksanaan program ini, ia dapat menjadikan masyarakat supaya lebih menghargai seni budaya semua kaum di Malaysia, sekali gus menghargai perpaduan selaras hasrat MPSJ yang mahu melahirkan masyarakat madani pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Difahamkan, program tahun kelima penganjurannya itu turut menampilkan pelbagai jenis pertandingan antaranya Pertandingan Muzik Kitar Semula, Pertandingan Nyanyian Lagu Tradisional dan Pertandingan Kebudayaan Warisan Sekolah Sejahtera.

Turut diadakan persembahan tarian tradisional tradisional dari JKKN, Persembahan tarian Poja dan Madduppa Bosara, Pertandingan Tulisan Khat Antara Jawatankuasa Penduduk MPSJ, Bicara Sejarah Kesultanan Melayu, Demonstrasi & Interaktif Permainan Tradisional dan Photo Booth Pakaian Tradisional Malaysia.

Manakala, pameran turut diadakan daripada Tourism Selangor, Persatuan Melayu Bugis Selangor (Pameran Sejarah Selangor dan Bugis), Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor dan Bazar Kraf Unit Perancang Ekonomi Negeri.

 


Pengarang :