Selangorkini
AGAMA SELANGOR

Seminar Pendidikan Fatwa beri ruang jawab persoalan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OKT: Kira-kira 300 peserta terdiri daripada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), penceramah bertauliah serta kakitangan agensi agama menyertai Seminar Pendidikan Fatwa negeri, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, seminar itu bagi mendedahkan kepada peserta berkaitan isu penting yang difatwakan melalui Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Katanya, ia turut memberi ruang kepada masyarakat untuk mengemukakan persoalan yang timbul.

“Pembabitan pelbagai pihak dalam menjayakan lagi gerak kerja di peringkat urusetia dan diharap memberi manfaat kepada semua peserta.

“Kerjasama ke arah mendaulatkan Islam seperti ini adalah tuntutan di dalam Islam tanpa mengira latar belakang pendidikan atau pekerjaan,” katanya pada majlis penutupan seminar berkenaan.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Dato’ Paimuzi Yahya.

Sementara itu, Paimuzi berkata, seminar itu bertujuan memberikan penjelasan dan penerangan terhadap isu hukum serta fatwa sebagai panduan juga bimbingan kepada segenap lapisan masyarakat.

Katanya, ia memberi peluang kepada agensi fatwa sebagai badan bertanggungjawab dalam hal ehwal kefatwaan untuk menjelaskan isu hukum.

“Seminar ini usaha berterusan yang dilaksanakan bagi memperlihatkan hubungan akrab kedua pihak.

“Kedua agensi memerlukan satu sama lain dalam memantapkan dan memperkukuhkan kedudukan Islam khususnya pengurusan hal ehwal kefatwaan di negara ini,” katanya.

 

 


Pengarang :