Selangorkini
AGAMA NASIONAL

Serantau Muslim ke Palu bantu mangsa musibah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 OKT: Seramai lima sukarelawan dari Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) dan Da’i, Nur Afiqah Mahmud ke Palu, Sulawesi bagi membantu mangsa gempa bumi dan Tsunami, di sana.

Rombongan bantuan ke sana turut disertai bersama Kerajaan Malaysia dan dua Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain.

Sukarelawan Serantau Muslim, Al Iddin berkata, mereka dibahagikan kepada dua pasukan iaitu perubatan dan bantuan mengagihkan bekalan asas seperti makanan dan minuman kepada mangsa.

“Sepanjang mengikuti misi bantuan itu saya merasakan banyak lagi masalah yang membelenggu penduduk di kawasan gempa bumi dan tsunami tersebut.

“Mereka mungkin memerlukan sejenis alat yang dapat menapis air bersih berikutan mereka tiada bekalan air bersih di sana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Serantau Muslim optimis misi bantuan yang disertai wakil Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mountain of Mercy (MOM), 40 Anggota Pertahanan Awam (APM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dapat pulang dalam keadaan selamat ke tanah air.

“Kebanyakan mangsa di daerah tersebut ditempatkan di kem penempatan sementara seperti sekolah dan padang yang tidak terjejas selepas rumah mereka ranap kesan daripada gempa bumi dan hentaman tsunami.

“Ramai penduduk memerlukan bekalan makanan asas untuk mengalas perut dan bekalan air bersih,” katanya.

Serantau Muslim juga ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia yang berbesar hati menghulurkan sumbangan, boleh melayari laman sesawang airmatasulawesi.com atau menghubungi 010-8659407 bagi keterangan lanjut.

 

 


Pengarang :