ALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

Sikap orang ramai, pertambahan populasi antara penyumbang pencemaran sungai

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Sikap penduduk setempat yang tidak bertanggungjawab dan faktor pertambahan populasi serta aktiviti pembalakan merupakan antara faktor masalah pencemaran sungai di Kuala Lumpur dan beberapa kawasan lain di seluruh negara.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar berkata, kementerian menerusi agensi di bawahnya akan terus memainkan peranan dalam memastikan pemuliharaan alam sekitar sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

“Sehubungan itu, kerjasama antara Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, kerajaan negeri dan kementerian lain harus dipergiatkan dalam usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kebersihan sungai dan tidak membuang sampah sarap di sungai.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia 2018 peringkat kebangsaan di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Xavier berkata sungai paling tercemar ialah di Kelantan, Pahang, Kedah dan Perak yang berpunca daripada aktiviti pembalakan.

Sementara itu, Khalid berkata Kementerian Wilayah Persekutuan komited untuk meneruskan Projek River of Life (ROL) atau Sungai Nadi Kehidupan yang menelan belanja kira-kira RM4 bilion.

“Ia bertujuan mengubah landskap Kuala Lumpur, meningkatkan kualiti hidup di tepian air….di tengah bandar raya selain menjadi tarikan ekonomi, namun semua pelaburan ini tidak bermakna jika tidak ada kesedaran di kalangan masyarakat untuk menjaga dan menghargai sungai kita,” katanya.

Projek ROL yang dilancarkan pada 2011 adalah projek permulaan di bawah Greater Kuala Lumpur dan bakal mengangkat martabat Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia bertujuan menghidupkan semula Sungai Klang dan Sungai Gombak dalam bandar.

Ini termasuk mengubahnya menjadi tebingan sungai atau waterfront yang berkembang maju selari dengan perkembangan ekonomi dan komersial melalui aktiviti pembersihan dan pengindahan sungai serta pembangunan tanah.

Khalid meminta orang ramai melaporkan sebarang aktiviti yang menyumbang kepada pencemaran sungai menerusi aplikasi “Citizen’s Eye’ yang beroperasi sepenuhnya pada 23 Sept lepas. Aplikasi itu boleh dimuat turun melalui Apps Store atau Playstore di telefon pintar.

Orang ramai boleh menggunakan aplikasi tersebut dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :