SELANGOR

Singgah Mesra Perangsang Selangor pupuk semangat patriotik

SHAH ALAM, 2 OKT: Program Singgah Mesra Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor), sempena sambutan kemerdekaan mencapai objektif untuk memupuk elemen dan semangat patriotik dalam kalangan pelajar sekolah.

Pengarah Bersekutu Perhubungan Awam, Media & CSR Perangsang Selangor, Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata, program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19 itu menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 300 pelajar.

Katanya, program yang memasuki siri ketiga itu dilaksanakan bagi membolehkan Perangsang Selangor mendekati masyarakat dan membantu mereka yang kurang berkemampuan.

“Kita lakukan beberapa aktiviti sempena kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia antaranya nyanyian lagu patriotik, deklamasi sajak serta pertandingan menghias bilik darjah bertemakan kemerdekaan.

“Di samping itu, kita turut menyalurkan sumbangan kepada 40 pelajar yang kurang berkemampuan selain sumbangan kepada pihak sekolah sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Selain pertandingan nyanyian lagu patriotik dan deklamasi sajak, kakitangan Perangsang Selangor serta pelajar juga terbabit dengan aktiviti gotong-royong mengecat dua gazebo, menanam pokok buah-buahan selain dihiburkan selebriti tempatan iaitu Ewal Akademi Fantasia.

Pada masa sama, Mohd Fauzi berharap program itu mampu membentuk jati diri dan karakter positif dalam kalangan pelajar sekolah.

“Kita mahu pelajar ini sebagai bakal pemimpin masa depan supaya mereka mempunyai kebolehan untuk berfikir secara kreatif dan terbuka.

“Kita tidak mahu pemikiran mereka dijajah anasir luar negatif, justeru kita juga mahu menanamkan elemen pengorbanan, perjuangan dan mendaulatkan bangsa serta negara kepada mereka supaya mempunyai asas juga semangat patriotik kukuh pada masa depan,” katanya.


Pengarang :