Selangorkini
NASIONAL

SIRIM dekati PKS, tingkat sektor pembuatan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 OKT: Lebih 300 peserta menyertai program ‘Peningkatan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui SIRIM Fraunher’, anjuran Institut Penyelidikan Standard dan Industri Malaysia (SIRIM), di Ibu Pejabat SIRIM, di sini, pada 19 Oktober lalu.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, program itu mendedahkan peserta dengan pelbagai topik berkaitan inovasi makanan dan perkilangan bagi meningkatkan daya saing mereka.

Katanya, ia juga menjadi medan mencari penyelesaian menangani permasalahan dan isu dihadapi PKS, melalui sesi jaringan serta perbincangan kumpulan sasaran.

“Sebanyak 640 syarikat menjalani audit teknologi oleh juruaudit berkelayakan terdiri daripada penyelidik dan jurutera SIRIM, sejak ia dilaksanakan pada 2015.

“Audit teknologi ini menyediakan saluran kepada syarikat untuk menilai keupayaan pengurusan teknologi mereka dan memahami kekuatan serta kelemahan masing-masing ke arah penambahbaikan.

“Ekoran itu, 170 projek peningkatan teknologi diluluskan dan lebih daripada 300 syarikat mengambil bahagian dalam projek intervensi teknologi lain seperti audit tenaga, pembungkusan dan pelabelan, bengkel inovasi serta penerimagunaan amalan terbaik,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, program itu menyaksikan seramai 62 usahawan PKS daripada SIRIM meliputi usahawan pelbagai industri termasuk bahan pembungkusan, pemesinan dan kejuruteraan, makanan dan minuman, serta pelabelan dan pembungkusan.

Pada masa sama, katanya, SIRIM turut membangunkan program baharu untuk PKS termasuk tunjuk ajar dalam penggunaan alat inovatif bagi pengurusan teknologi, perdagangan dan pemadanan perniagaan.

Katanya, ia turut membabitkan pembangunan rangka kerja kesediaan penilaian syarikat dalam menggunapakai elemen Industri 4.0 bagi menyokong inisiatif kerajaan ke arah itu.

“SIRIM bekerjasama dengan Fraunhofer Institute, Jerman bagi perkongsian strategik dan penggunaan ekosistem inovasi Jerman kepada industri PKS, di Malaysia.

“Kerjasama ini juga menyasarkan penggembelengan penyelidikan dan pembangunan teknologi tercanggih dari Fraunhofer serta SIRIM kepada PKS tempatan ke arah industri berteknologi tinggi,” katanya.

SIRIM adalah syarikat milik penuh Kerajaan Malaysia menerusi Menteri Kewangan Diperbadankan dan agensi di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).


Pengarang :