NASIONAL

Sistem amaran awal tsunami negara mencukupi

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Sistem amaran awal tsunami menerusi penggunaan tolok pasang surut, kamera pantai dan sistem siren yang dipasang di seluruh negara mencukupi bagi memberi maklumat awal kepada rakyat negara ini, sekiranya berlaku sebarang bencana tsunami.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis berkata terdapat 77 seismometer, 53 siren, 17 tolok pasang surut dan 15 kamera pantai di seluruh negara.

“Ramalan cuaca di Malaysia sebenarnya agak susah diramalkan kerana kita berada di kawasan tropika yang mana pergerakan cuaca kita pendek dan sentiasa bergerak.

“Setakat ini stesen ramalan cuaca dan sistem amaran tsunami kita mencukupi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Jugah Muyang@Tambat (PH-Lubok Antu) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menambah sistem amaran tsunami di negara ini, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan asal Jugah mengenai pertimbangan kerajaan untuk menggantikan alat boya tsunami yang hilang di perairan Laut China Selatan, Isnaraissah Munirah berkata kerajaan telah mengambil alternatif lain dengan memasang alat tolok pasang surut di Pulau Layang-Layang, Sabah yang mempunyai fungsi sama seperti alat boya tsunami.

“Tolok pasang surut memberi data setiap minit dan memberi fungsi yang berkesan dan sama fungsi dengan pelampung tsunami,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :