PBTSELANGOR

Sistem Pengurusan Aduan Awam Berpusat diperkenal ke arah Smart State

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 OKT: Selaras ke arah menjadikan Selangor sebagai ‘Smart State’ Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) diperkenalkan supaya aduan masyarakat di Selangor dapat diuruskan dengan lebih lancar dan teratur.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, sistem ini berfungsi untuk menerima pelbagai maklum balas sama terhadap perkhidmatan yang diberikan.

“Sistem ini dikelolakan oleh Bahagian Korporat, SUK Selangor.

“Portal aduan ini berfungsi untuk menerima pelbagai maklum balas dalam bentuk, aduan, cadangan, teguran dan pertanyaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Hari Mesra MBSA Sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-18 di Plaza Shah Alam di sini, semalam.

Sze Han berkata, SISPAA Selangor diperkenalkan dengan konsep bersepadu yang menyatukan lebih 50 agensi di bawah satu sistem pengurusan aduan yang sama.

Katanya, antara agensi terlibat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Daerah, badan berkanun negeri, anak syarikat Kerajaan Negeri dan syarikat utiliti.

Sebelum itu, Sze Han turut merasmikan Program Hari Mesra MBSA Sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-18.


Pengarang :