BERITA UTAMASELANGOR

Smart Selangor galak inovasi dan usahawan teknologi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 15 OKT: Kerajaan Negeri optimis misi Smart Selangor bakal menggalakkan kajian inovasi dan keusahawanan teknologi, di Malaysia mahupun serantau ASEAN.

Ketua Pegawai Kewangan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Zannifa Azura berkata, ia sekali gus membuktikan keberkesanannya sebagai model pembangunan masa hadapan di bawah Revolusi Industri 4.0.

Katanya, Selangor adalah satu-satunya negeri yang bermatlamat mengubah sebuah negeri melalui kepelbagaian kemajuan ke arah menjadikan satu ‘Regional Smart State’.

“Sejak ia diperkenalkan, beberapa program dan aktiviti berjaya dirancang dan dilancarkan, malahan kini ia bergerak selangkah demi selangkah untuk mencapai Visi Smart Selangor 2025.

“Contohnya, dengan pelancaran Smart Selangor Blueprint dan inisiatif lain seperti WiFi Smart Selangor, Intelligence Response System untuk aduan lubang jalan, Smart Waste Management di bawah KDEB Waste dan Selangor Intelligent Transport System iaitu satu aplikasi Bas Smart Selangor, membina asas yang kuat bagi kemajuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan mewakili EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, pada Majlis Perasmian Jelajah 360 Smart Selangor: Alami Smart Selangor, di Pantai Remis, di sini, semalam.

Zannifa Azura berkata, Smart Selangor adalah satu agenda penting di bawah Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat, di negeri ini.

Justeru katanya, rakyat Selangor perlu mengenali lebih baik inisiatif di bawah agenda Smart Selangor dan memahami misi serta visi yang mahu dicapai.

“Kita mampu berdiri teguh meskipun dihadapkan tekanan globalisasi abad ke-21, jika kerjasama diberi semua pihak sama ada pegawai kerajaan, industri, pendidik dan masyarakat, amnya.

“Pada masa sama, kejayaan sebenar boleh dicapai jika negeri dan rakyatnya bersedia berubah mengikut peredaran zaman, terutama di bawah era Revolusi Industri 4.0 yang sedikit sebanyak berkait dengan inovasi teknokogi serta revolusi digital.

Agenda Smart Selangor diperkenalkan sejak November 2015 dengan model yang dibentuk adalah berasaskan ‘Stakeholder Engagements’ merangkumi ribuan rakyat, pihak berkepentingan, anggota kerajaan dan industri.


Pengarang :