SELANGOR

Smart Selangor Parking kini tanpa caj RM1

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Orang ramai digalak menggunakan Smart Selangor Parking (SSP) kerana ia memberi pelbagai kemudahan dengan operasinya dilakukan secara dalam talian.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, demi kemudahan pengguna, Kerajaan Negeri melalui Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) memutuskan mengecualikan caj bayaran RM1 bagi tambah nilai aplikasi berkenaan.

“Setakat ini, enam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempraktikkan penggunaan SSP di kawasan pentadbirannya dan Kerajaan Negeri menerima maklum balas positif sejak diperkenalkan, pada 1 Julai lalu.

“Dengan pengecualian caj bayaran RM1 bagi tambah nilai, Kerajaan Negeri berharap lebih ramai pengguna akan menggunakannya,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengenalan Penggunaan SSP bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussain dan Ahli Dewan Negeri Teratai, Lai Wai Chong.

Mengulas lanjut, katanya, penggunaan aplikasi sistem parkir dalam talian itu juga membawa kesan baik dengan pengurangan kertas bagi sistem parkir berkupon.

“Dengan sistem SSP, setakat ini kita berjaya menggurangkan penggunaan kertas lebih kurang 62,233 kilogram (kg).

“Ia juga memudahkan pengguna kerana tidak perlu menggunakan wang syiling bagi membayar caj tempat letak kenderaan dan sebagainya,” katanya.

Bagaimanapun, Sze Han berkata, penggunaan sistem parkir berkupon masih diteruskan seperti biasa dan Kerajaan Negeri belum memutuskan bagi memansuhkannya.

Selain MPAJ, PBT lain mempraktikkan penggunaan SSP ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaraya Kajang dan Majlis Perbandaran Selayang.


Pengarang :