SELANGORSUKANKINI

Sokongan Kerajaan Negeri jaya Selangor Cyber Games

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 28 OKT: Sokongan Kerajaan Negeri memberi impak besar terhadap penganjuran Selangor Cyber Games yang menyaksikan acara itu terus berkembang dan mendapat sambutan di kalangan peserta dari seluruh negara.

Pengarah Mineski Events Team, Firdaus Hashim berkata, sokongan Kerajaan Negeri itu amat penting bagi terus menjayakan program berkenaan pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri memberikan sokongan sepenuhnya kepada acara ini sejak 2014 dan ia amat penting kerana inilah acara tunggal menyediakan hadiah wang tunai.

“Kerajaan Negeri juga adalah satu-satunya kerajaan di Malaysia yang menberi sokongan terhadap acara permainan e-sukan dengan penyertaan anak muda,” katanya kepada media di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan maklum balas, Selangor Cyber Games akan terus dipertingkatkan menjadi acara antarabangsa pada tahun depan.

“Kita telah melakukannya pada 2016 dan pada tahun depan dijangka membabitkan penyertaan lebih besar di mana ia akan menjadi acara antarabangsa pada peringkat Asia,” katanya.

Berhubung penyertaan pada edisi kali ini, katanya, pihaknya menganggarkan penyertaan lebih kurang 10,000 pemain e-sukan dengan 5,000 peserta pada hari pertama diikuti lebih kurang jumlah sama pada hari kedua.

Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Mineski Events Team Malaysia dan Big Machinez menganjurkan Selangor Cyber Games 2018.

Ia menyediakan hadiah keseluruhan RM250,000 dengan mempertandingkan enam acara iaitu Dota 2 dengan hadiah RM70,000, Player’s Unknown Battleground (RM20,000), Fifa 19 (RM60,000), Pes 19 (RM20,000), Tekken 7 (RM30,000) dan Mobile Legends Bang Bang (RM50,000).


Pengarang :