BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

SOPMA 2018: Selangor sasar lima emas

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 16 OKT: Selangor menyasarkan kutipan lima pingat emas dalam temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) ke 20, di sini.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Selangor (SELSDEAF), B Sarkunan berkata, sasaran itu mampu dipenuhi berdasarkan persiapan rapi dilakukan pasukan bagi menghadapi cabaran pasukan dalam temasya yang berlangsung sejak 15 hingga 21 Oktober ini

“Kontinjen Selangor dengan 84 peserta meletakkan sasaran memenangi lima emas, enam perak dan enam gangsa serta menduduki tiga teratas dalam temasya SOPMA 2018 ini.

“Kita harap ia mampu direalisasikan bagi mencapai keputusan lebih baik berbanding temasya lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pembukaan SOPMA 2018 di Dewan Seri Perdana, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Pada SOPMA ke 19 di Sarawak, Selangor menduduki tangga keempat dengan empat emas, lima perak dan lima gangsa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Selangor akan menyertai semua lima acara iaitu bola sepak, tenpin boling, futsal, badminton dan olahraga.

Katanya, kontinjen kali ini mempunyai kelebihan dalam tenpin boling kerana dianggotai ahli sukan bertaraf antarabangsa selain bola sepak dengan pasukan di bawah 23 tahun.

“Selangor mampu mencapai sasaran dengan memperoleh pingat daripada kedua acara ini,” katanya.

Pada temasya kali ini, 46 pingat emas dipertandingkan dalam lima acara disertai 2,500 atlet dan pegawai dari 14 negeri.

Pada SOPMA 2016 lalu, Wilayah Persekutuan muncul juara keseluruhan dengan meraih 12 emas, lapan perak dan lima gangsa.


Pengarang :