SUKANKINI

SOPMA18: Kuan Sheng puas hati sumbang pingat buat Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 18 OKT: Walaupun terlepas pingat emas, namun Law Kuan Sheng berpuas hati dapat menyumbang perak menerusi perseorangan lelaki badminton untuk kontinjen Selangor, pada Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018 kali ini.

Baginya, pencapaian itu amat bermakna kerana Selangor layak ke perlawanan akhir buat kali pertama walaupun gagal menyudahkannya dengan kemenangan.

“Saya berusaha memberi tentangan kepada pemain Johor, Tan Eng Chun tetapi mengalami kecederaan di bahagian kaki menyebabkan saya gagal bertahan hingga tewas.

“Namun, saya berpuas hati dengan pencapaian ini dengan mara ke akhir dan menyumbang pingat untuk pasukan,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam perlawanan akhir itu, Kuan Sheng tewas kepada Eng Chun 21-12 dan 21-11.

Kuan Sheng turut menyumbang gangsa dengan pasangannya, Khor Teng Wooi dalam beregu lelaki apabila terkandas di separuh akhir kepada pasangan Johor, Eng Chun dan Edmond Teo Seng Keong, 21-18 dan 21-16.

“Dalam beregu, kita sekali lagi menempuh cabaran sukar berdepan Eng Chun dan pasangannya.

“Kekurangan pengalaman menyebabkan kita gagal mengatasi kehebatan beregu Johor,” katanya.

Katanya, beliau bersama pemain lain menjalani latihan insentif di Majlis Sukan Negeri Selangor serta beberapa kelab badminton termasuk dengan pemain normal selama lebih kurang tiga minggu.

Kuan Sheng berkata, beliau turut mendapat tunjuk ajar jurulatih dan bekas pemain negeri, Rahman Datuk Sidek serta beberapa jurulatih lain.

“Dengan keputusan diraih, saya berpuas hati dan akan terus berusaha gigih menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan mendatang termasuk SOPMA 2020 di Johor,” katanya.


Pengarang :