SUKANKINI

SOPMA18: Selangor tersingkir selepas cabar hebat Kelantan

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 18 OKT: Pemain Selangor memberikan cabaran bermakna kepada juara bertahan, Kelantan dalam perlawanan bola sepak ulangan Kumpulan B sempena Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018 sebelum tewas 1-3, di Padang Ipoh, di sini, semalam.

Jurulatihnya, Rudy Ramli berkata, skuad muda pekak Selangor berusaha menyaingi Kelantan dari awal hingga ke akhir perlawanan, namun kelebihan nyata memihak kepada pasukan dari Pantai Timur itu.

“Perlawanan ulangan ini nampak seimbang dan digunakan pemain untuk membuktikan mereka mampu memberikan cabaran kepada Kelantan yang lebih berpengalaman.

“Pemain nyata mencuba yang terbaik dan melakukan segala kemungkinan untuk mencipta kejutan, namun Kelantan menggunakan kelebihan bagi mencatat kemenangan,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam perlawanan ulangan lewat petang semalam, Kelantan mencatat kemenangan 3-1 untuk mara ke peringkat separuh akhir, manakala Selangor yang seri dengan Negeri Sembilan (3-3) dalam perlawanan awal, terkeluar daripada kejohanan.

Perlawanan semula itu diadakan antara kedua pasukan apabila Kelantan yang menang 2-0 dalam saingan awal pagi semalam, didapati melanggar peraturan dengan menurunkan tiga pemain kebangsaan (Malaysia Deaf Tigers).

Peraturan ditetapkan penganjur, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), ialah sesebuah pasukan bola sepak dalam kejohanan itu hanya dibenarkan menurunkan dua pemain kebangsaan dalam sesuatu perlawanan.

Ekoran itu, Rudy berkata, Selangor membuat bantahan dan penganjur memutuskan perlawanan ulangan diadakan antara kedua pasukan.

“Ia diputuskan dalam perbincangan antara penganjur serta pasukan bertanding dan perlawanan ulangan diadakan bagi memberi keadilan kepada kedua pasukan,” katanya.

Berakhir perlawanan peringkat kumpulan, Kelantan dan Negeri Sembilan layak ke separuh akhir bersama Terengganu dan Sabah dari Kumpulan A.


Pengarang :