SUKANKINI

SOPMA18: Tenpin boling harap tambah emas untuk Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 17 OKT: Pasukan tenpin boling Selangor berharap dapat menambah jumlah pingat khususnya emas selepas berjaya meraih satu emas dan gangsa di Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018 di sini.

Jurulatihnya, Mohd Razif Abu Bakar berkata, kejayaan dicapai menerusi Mohd Firdaus Mohamad yang memperoleh emas dan Mohd Razid Redzali (gangsa) memberi keyakinan untuk pasukan mencipta lebih banyak lekayaan dalam temasya itu selepas ini.

“Alhamdulillah kita memperoleh satu emas dan gangsa dalam acara perseorangan lelaki hari ini dan berharap ia berterusan dalam beberapa acara lain selepas ini.

“Kita akan terbabit dalam acara beregu, trio dan berpasukan lelaki juga perempuan serta berharap mampu menambah pingat khususnya emas,” katanya kepada Media Selangor di sini, semalam.

Beliau berkata, Selangor berdepan cabaran sengit dari Kuala Lumpur, Sabah dan tuan rumah, Perak, dalam acara tempin boling SOPMA.

Untuk itu, katanya, pasukan membuat perancangan rapi sejak beberapa tahun lalu bagi mencapai sasaran ditetapkan.

“Setakat ini, ia berjalan seperti dirancang dan seperti di SOPMA 2016 di Sarawak, kita meraih empat emas dan kali ini kita berharap untuk memperoleh lima emas dalam SOPMA kali ini,” katanya.


Pengarang :