SUKANKINI

SOPMA18: Tenpin boling Selangor raih satu emas dan satu gangsa

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 17 OKT: Selangor berjaya meraih satu pingat emas dan satu gangsa dalam perseorangan lelaki tenpin boling di Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA), di sini.

Pingat emas itu diperoleh menerusi Mohd Firdaus Mohamad yang mengumpul mata keseluruhan 1,039 mengatasi Mohd Zaidi Awang (Kuala Lumpur) untuk perak manakala Mohd Razid Redzali (1,000 mata) menyumbang gangsa untuk Selangor.

Walaupun Mohd Firdaus dan Mohd Zaidi mengumpul jumlah mata sama namun Mohd Firdaus diisytihar memenangi emas kerana memungut lebih mata dalam permainan terakhir iaitu 221 berbanding lawannya itu (167 mata).

Mohd Firdaus melahirkan rasa gembira dengan kejayaan itu dan berharap ia mampu mengekalkan prestasi dalam perlawanan beregu lelaki.

“Saya gembira dapat mencapai sasaran dengan menyumbang emas untuk Selangor.

“Diharap saya dapat mengulangi pencapaian ini dalam acara beregu lelaki selepas ini,” katanya kepada Media Selangor di sini, semalam.

Dalam acara perseorangan lelaki itu, Mohd Firdaus menerima cabaran sengit Mohd Zaidi dalam enam permainan dan pemenang ditentukan menerusi permainan keenam selepas mereka mengumpul mata sama, 1,039.


Pengarang :