SUKANKINI

SOPMA18: Tenpin boling terus raih pingat

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 19 OKT: Skuad tenpin boling Selangor terus menambah pungutan pingat dengan satu perak dan satu gangsa dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018, di Ampang Superbowl, di sini, semalam.

Pingat perak diperoleh melalui permainan trio lelaki iaitu Ahmad Zainurin Amat Jailani, Mohd Firdaus Mohamad dan Mohd Razib Redzali dengan pungutan mata keseluruhan, 2,844 manakala trio wanita, Sabrina Abd Hamid, Rusliza Abdullah dan Rohani Din (2,309) menyumbang gangsa.

Ahmad Zainurin, Mohd Firdaus dan Mohd Razib ketinggalan 214 mata kepada trio lelaki Wilayah Persekutuan, Wong Chew Hoong, Edmondson Koh Kok Leng dan Mohd Zaidi Awang (3,058) yang memenangi emas.

Manakala gangsa digenggam pasukan Sabah, Ho Choon Seong, Soo Kok Heng dan Nethaneal Segfred Enson (2,830).

Kehampaan trio lelaki Sabah ditebus wanitanya, Nor Misha Nathera Mackery, Zuriana Roslan dan Jovinia Danduan (2,597) untuk meraih emas.

Trio wanita Wilayah Persekutuan pula, Liew Boon Har, Cheng Kam Ping dan Tan Yann Chin (2,377) menduduki tempat kedua untuk perak.

Setakat ini, pasukan tenpin boling menyumbang dua emas, satu perak dan satu gangsa untuk kontinjen Selangor, pada edisi SOPMA 2018.


Pengarang :