SELANGORSUKANKINI

SOPMA18: Tenpin boling tetap bangga pencapaian pasukan

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH: 20 OKT: Pasukan tenpin boling Selangor mempamer prestasi membanggakan walaupun sekadar memenangi dua pingat emas dalam Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018 kali ini.

Jurulatihnya, Mohd Razif Abu Bakar berkata, pihaknya berpuas hati dengan pencapaian pasukan dan pemain yang berusaha gigih di sepanjang kejohanan itu.

“Pemain menunjukkan prestasi bagus, penuh bersemangat dan bekerja keras hingga berjaya memenangi dua emas.

“Dengan apa diperoleh, kita berpuas hati dengan kejayaan ini,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui di Ampang Superbowl di sini, hari ini.

Tenpin boling menjadi sandaran kontinjen Selangor bagi memenangi pingat sasaran lima emas pada kejohanan dwitahunan itu.

Bagaimanapun, pasukan terbabit sekadar mengumpul dua emas, satu perak dan tiga gangsa pada SOPMA 2018 di mana dua emas itu diperoleh menerusi perseorangan serta beregu lelaki.

Mohd Razif dalam pada itu mendakwa penganjur telah melakukan beberapa tindakan di luar jangkaan hingga menjejaskan persembahan pemain Selangor.

“Prestasi pemain agak terjejas dan peluang memenangi pingat terlepas dalam beberapa acara disertai namun diharap Selangor bangkit selepas ini terutamanya di SOPMA 2020,” katanya.

Sementara itu, Pengurus pasukan, Siti Mahnun Dato’ Dr Mansor berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor serta pihak lain yang banyak memberi sokongan kepada pasukan tenpin boling Selangor.

“Tidak ketinggalan kepada Kumpulan Perangsang Selangor yang membantu dari segi persiapan dan latihan pasukan ke SOPMA 2018.

“Kita akan terus berusaha bagi meningkatkan prestasi untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan,” katanya.


Pengarang :