SUKANKINI

SOPMA18: Wilayah Persekutuan juara keseluruhan

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 21 OKT: Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018 menutup tirai semalam dengan Wilayah Persekutuan sekali lagi muncul juara keseluruhan pada edisi ke 20 itu.

Wilayah Persekutuan menguasai kejohanan enam hari bermula 15 Oktober dengan mengumpul tujuh pingat emas, 11 perak dan lima gangsa.

Penasihat Khas Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, pihaknya berbangga dengan komitmen Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) dan semua dalam memastikan kejohanan itu berlangsung dengan jayanya.

“Kita melakukan yang terbaik dan saya yakin penganjuran SOPMA ke 20 adalah yang terbaik.

“Anda semua telah berjuang demi mengharumkan nama negeri. Anda semua telah mengorbankan masa, tenaga, kerja dan wang ringgit. Bagi saya, anda semua layak digelar wira,” katanya dalam majlis perasmian penutup SOPMA 2018 di Dewan Seri Perdana, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden MSDeaf, Kamarzaman Harun.

Zainol Fadzi berkata, Kerajaan Negeri turut berbangga kerana SOPMA ke 20 menjadi medan atlet orang pekak bersaing dengan banyak rekod baharu dicipta.

“SOPMA 2018 bukan hanya untuk bersaing dan mampu menang namun memiliki misi jelas untuk dibanggakan,” katanya.

Dengan Wilayah Persekutuan kekal juara, Sabah terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan enam emas, tujuh perak dan lapan gangsa diikuti Terengganu (keitga) mengumpul lima emas, tiga perak dan satu gangsa.

Terengganu turut unggul apabila atlet lelaki dan wanitanya, Nor Shahdan Muhamad juga Norafaeza Abdullah dinobatkan sebagai atlet lelaki dan wanita terbaik SOPMA 2018.

SOPMA ke 21 akan berlangsung di Johor Bahru, Johor pada 2020.


Pengarang :